JUMAAT adalah hari paling mulia serta mempunyai beberapa fadilatnya untuk direnungi.
Kitab As Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat.
Antara  peristiwa itu ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa; Nabi Yusuf dengan  Zulaiha: Nabi Musa dengan Shafura binti Syuaib; Rasulullah saw dengan  Khadijah; Rasulullah dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar serta Ali bin  Abi Thalib dengan Fatimah Zahara binti Muhammad.
Daripada Abu  Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari  yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan  pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.
“Pada Jumaat  juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman  meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”  (Hadis riwayat Muslim).
Dalam hadis  lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah  hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang  menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam  pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.
“Pada hari  itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta  (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan  doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan  melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat  Tirmizi).
Solat Jumaat  dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu  adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran  Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu.
“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.
“Sesiapa  hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor  ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah  memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam  naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar  khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu  seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan  dalam buku kehadiran malaikat.
Umat Islam  juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk  mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib  ketika menghadiri solat Jumaat.
Imam Muslim  meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk  lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus  mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi  tambahan tiga hari lagi.
“Sesiapa  yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi  khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”
Hadis di  atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum  menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah  perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran,  pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.
Daripada  Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seseorang antara kalian  mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada  Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang  berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan  tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” (Hadis riwayat Imam  Abu Daud dan Termizi).
Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.
Hadis  Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat  dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang  sebaik hari).”
Ada banyak  hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan  menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:
- Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.
 - Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
 - Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
 - Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.
 - Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.
 - Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
 - Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah.
 


2 comments:
Assalamumualaikum.
Pohon izin share..
Assalammualaikum,pohon izin share
Post a Comment